ARKIB : 21/05/2011
Pemain dan pegawai pasukan PKNS meraikan kejayaan
menjuarai Liga Super 2011 setelah mengalahkan Johor 2-0 dalam perlawanan di
Stadium MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi. - UTUSAN/ Noor Asrekuzairey Salim
KUALA LUMPUR - PKNS mengesahkan kejuaraan Liga
Perdana musim ini selepas mengalahkan Johor 2-0 di Stadium MBPJ Kelana Jaya,
malam tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan
Abdul Rahman Ibrahim mengumpul 51 mata, untuk dinobat selaku juara ketika baki
tiga perlawanan.
Lebih membanggakan PKNS mengekalkan rekod tanpa
kalah dalam 19 perlawanan setakat ini.
Perolehan 51 mata tersebut tidak mampu lagi
dipintas pencabar terdekat, Sarawak yang mengumpul 39 mata, setelah menang 3-0
ke atas PDRM di Stadium Negeri Kuching, semalam.
Saingan untuk satu lagi slot ke saingan Liga Super
pada musim depan tertumpu kepada perebutan di antara Sarawak dan pasukan di
tangga ketiga, Sime Darby.
Namun cabaran Sime Darby sedikit terencat apabila
kalah 1-2 kepada SDM Navy di Stadium Batu Kawan, malam tadi.
PKNS, yang hanya memerlukan satu mata daripada
perlawanan semalam untuk bergelar juara, sebaliknya selesa dengan tiga mata
penuh di laman sendiri menerusi jaringan Ahmad Tharmini Saiban pada minit
ke-59, disusuli jaringan Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul pada minit ke-71, yang
kemudiannya dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.
Abdul Rahman berkata, beliau bersyukur kerana PKNS
muncul juara Liga Perdana lebih awal iaitu ketika baki tiga perlawanan.
"Kejuaraan ini merupakan satu rekod luar
biasa, saya sendiri tidak menjangka dengan apa yang kami capai.
"Kemampuan kami muncul juara disebabkan
disiplin pemain di atas padang. Bahagian pertahanan beraksi dengan baik apabila
hanya melepaskan empat gol setakat ini.
"Kejayaan ini disebabkan pemain-pemain sendiri
yang mahukan kejuaraan setelah tiga tahun saya membimbing skuad ini.
"Setelah tiga tahun para pemain ini mencuba,
pada tahun ketiga barulah kami berjaya ke Liga Super, kejuaraan ini adalah
kerana motivasi pemain.
"Kejayaan ini juga menamatkan penantian lebih
20 tahun PKNS untuk beraksi dalam Liga Super," katanya.
Sementara itu, jurulatih Johor, Azmi Muhamad akan
memastikan mereka merupakan pasukan kedua yang akan mengiringi PKNS ke Liga
Super musim depan.
"Kami masih ada tiga perlawanan dan adalah
penting untuk kami meraih mata dalam ketiga-tiga perlawanan untuk mencerahkan
peluang ke Liga Super," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eKyRovjf
© Utusan Melayu (M) Bhd