PASUKAN PKNS giat berlatih
menjelang aksi Liga Super.
Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my
Seremban: Ketika beberapa
persatuan bola sepak negeri dan kelab berdepan kesukaran membentuk pasukan
baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan kerana
masalah kewangan, PKNS FC mempunyai cara tersendiri dalam menangani cabaran
itu.
Walaupun mereka hanya berstatus
kelab, PKNS masih dapat terus bertahan untuk bersaing dalam Liga M, malah
pembentukan skuad Liga Super dilihat berjalan lancar.
Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah
Abdul Jabar berkata, pihaknya sentiasa berhati-hati dalam menguruskan kewangan
kelab bagi memastikan tidak timbul masalah hingga menjejaskan kepentingan
pasukan terutama pegawai, jurulatih dan pemain.
Menurutnya, PKNS tidak
menawarkan gaji yang terlalu tinggi kepada pemain pasukan utama berbanding
pasukan lain.
“Kami cuba memahamkan pemain
yang berminat menyarung jersi PKNS mereka tidak seharusnya bermain untuk duit
sebaliknya untuk diri sendiri, keluarga dan masa depan.
“Sebab itu, kami tawarkan gaji
kepada pemain tempatan dalam skuad Liga Super pada kadar yang munasabah iaitu
tidak sampai RM20,000 seorang,” katanya ketika ditemui pada kem bina semangat
skuad Piala Belia dan Piala Presiden PKNS di HR Resort Kampung Pilin, Rembau,
kelmarin.
Sebelum ini, beberapa pasukan
negeri seperti Kelantan dan Selangor berdepan kesukaran membentuk pasukan
kerana masalah kewangan hingga mewujudkan kebimbangan dalam kalangan penyokong
pasukan itu.
Siti Zubaidah mengakui PKNS
yang ditaja oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Kappa memerlukan
antara RM10 hingga RM13 juta bagi menguruskan pasukan liga utama semusim.
“Kami perlu menguruskan kelab
dengan cekap dan berhati-hati serta menawarkan gaji kepada setiap pemain dalam
liga utama berdasarkan kemampuan kewangan.
“Tambahan pula, PKNS kini
mempunyai seramai 400 pegawai dan pemain bermula dari peringkat akademi hingga
skuad Liga Super,” jelasnya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 9:11 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan