Isnin, 29 Mei 2017

MK Land, PKNS curi perhatian



ARKIB : 29/04/2005

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Kancah saingan Liga Perdana kian bertambah rancak sambil melihat beberapa negeri seperti Selangor, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan meneruskan aksi cemerlang.

Buruan dua tempat ke saingan Liga Super musim depan dengan perjuangan kian sampai ke penghujung menjadikan saingan bertambah rancak dan sama ada dalam Kumpulan A atau pun Kumpulan B.

Ketika tumpuan ke atas keempat-empat pasukan tersebut, dua pasukan berstatus kelab iaitu MK Land dan PKNS mencuri perhatian di kalangan peminat bola sepak Liga Malaysia.

Tidak sampai seminggu MK Land yang dilatih oleh bekas pemain Selangor dan kebangsaan, Khan Hung Meng menghasilkan 13 gol daripada dua perlawanan.

Satu kejutan MK Land apabila membelasah pasukan penuh pengalaman dalam Liga Malaysia, Brunei 6-0, giliran NTFA pula digeggar dengan kemenangan 7-1, kemenangan terbesar dalam saingan Liga Malaysia setakat ini.

Keupayaan jentera serangan MK Land diterajui Marlon Alex James dan Miloslav Toth memberi amaran kepada pendahulu Kumpulan A, Selangor dan Kedah bahawa pasukan itu tidak boleh diperkecilkan.

Daripada 10 perlawanan, MK Land berjaya menghasilkan 32 gol dan masih kekal di tangga kedua di belakang Selangor dengan dua mata.

Masalah benteng pertahanan yang tidak ampuh nyaris menyaksikan Selangor kempunan untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Kemenangan tipis 4-3 ke atas Kuala Lumpur pastinya memberi tekanan kepada jurulatih Dollah Salleh walaupun jentera serangan mereka cukup ampuh menerusi Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes.

Bagaimanapun, Selangor masih belum boleh menarik nafas lega walaupun masih kekal sebagai pendahulu Kumpulan A dengan 25 mata diekori rapat oleh MK Land.

Pertembungan Ahad ini bakal mencuri perhatian di mana MK Land berpeluang buat kali kedua untuk memintas Selangor merampas kedudukan tangga teratas.

Ketika MK Land menanti kunjungan TNB di tempat sendiri, Selangor pula berdepan tugas paling getir berdepan dengan Kedah di Stadium Darul Aman, perlawanan yang menjadi tumpuan peminat bola sepak.

Kedah pula turut memahatkan kemenangan besar membelasah TNB 5-0, kemenangan yang membolehkan skuad Kenari untuk turut sama mencabar kedudukan skuad Merah Kuning.

Sehebat saingan dalam Kumpulan A, begitu juga pertarungan sengit dalam Kumpulan B melihat skuad Terengganu terus unggul di persada tangga teratas liga.

Jaringan tunggal pemain import Luis Fernando Gomez pada minit ke-10 membantu kemenangan tipis Terengganu ke atas Johor meletakkan skuad penyu dengan 25 mata, kelebihan tiga mata mengatasi Negeri Sembilan.

Kedudukan skuad Penyu itu belum dijamin selamat sambil melihat Negeri Sembilan turut memahatkan kemenangan tipis menewaskan Sarawak 3-2 di tempat lawan.

Negeri Sembilan kini berada di tangga kedua dengan memungut 22 mata pastinya memberikan tekanan kepada Terengganu.

Turut mencabar kedudukan kedua-dua pasukan tersebut ialah PKNS yang meneruskan aksi cemerlang mereka yang berterusan untuk memahatkan kemenangan selesa.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iSI32v3a
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan