Sabtu, 6 Mei 2017

PKNS bina azam baru

ARKIB : 06/01/2005

TANPA pemain bergelar bintang, pasukan berstatus kelab, PKNS Selangor meletakkan sasaran untuk menempatkan diri dalam Liga Super musim depan.
Dengan reputasi menduduki tempat keempat Liga Perdana pada musim lalu dan mara ke separuh akhir Piala FA, merumuskan betapa PKNS mampu bangkit untuk menggegar Liga Perdana musim ini yang dijadualkan bermula bulan depan.
Tindakan drastik menggugurkan 13 pemain musim lalu termasuk jurulatih Zaki Syeikh Ahmad membuktikan PKNS tidak mahu tersisih musim ini.
Pengurus Besar PKNS, Datuk Haron Salim berkata, beliau yakin dengan keupayaan PKNS musim ini berdasarkan rombakan besar-besaran ke atas skuad musim lalu.
``Kami sudah ada jurulatih berpengalaman Ismail Ibrahim yang merupakan bekas penolong jurulatih Selangor musim lepas, di samping menambat sembilan muka baru yang pernah bermain dengan pasukan negeri dalam Liga Perdana dan Liga Super,'' ujarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan 23 pemain menandatangani kontrak untuk mewakili PKNS di Ibu Pejabat PKNS Petaling Jaya, semalam.
Empat pemain berpengalaman yang menyertai PKNS musim ini ialah bekas penjaga gol Pulau Pinang, Zuraimi Hasan; penyerang Selangor, Rudie Ramlie dan dua tonggak Public Bank iaitu Mohd. Nafuzi Mahammad Zain dan T. Arunkumar.
Turut ditambat oleh PKNS ialah tiga pemain skuad remaja kebangsaan bawah 19 dan 20 tahun iaitu Md. Hasmarul Fadzir Hassan, Mohizam Shah Dawood Shah dan Muhammad Sofizal Sokhini.
Haron menambah, walaupun PKNS tidak dibarisi pemain bergelar bintang tetapi sasaran yang diletakan untuk memburu tempat ke Liga Super 2006 mampu menjadi kenyataan.
Mengenai pemain import beliau berkata, PKNS hanya mengekalkan seorang pemain tengah dari Slovakia, Roman Chmelo.
Begitupun katanya, PKNS akan mendapatkan khidmat tiga lagi pemain import bagi mengisi kuota yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tiga pemain tersebut kata Haron, dua pemain dari Croatia yang bermain di posisi pertahanan dan penyerang manakala seorang lagi penyerang dari Slovakia.
``Ketiga-tiga pemain ini akan diuji pada tiga sesi perlawanan persahabatan menentang Johor FC, Pulau Pinang dan Pahang,'' ujarnya.
Sementara itu Ismail begitu optimis barisan baru skuad itu mampu menggegar Liga Perdana musim ini.
Ismail berkata, sekali pun PKNS tidak mendapat khidmat pemain berstatus bintang tetapi beliau yakin barisan baru musim ini mampu melakukan kejutan.
``Sasaran pihak pengurusan iaitu PKNS mara ke Liga Super musim depan nampak realistik dan melihat keupayaan pemain yang ada, tidak mustahil ia menjadi kenyataan.
``Ada pasukan yang memiliki ramai pemain bintang tetapi prestasi mereka juga tidak ke mana,'' ujarnya.
Beliau berkata, apa yang penting pemain perlu jujur apabila diturunkan dalam kesebelasan utama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan