Jumaat, 29 September 2017

PKNS ‘tutup buku’ Liga Malaysia



ARKIB : 31/05/2007
Oleh: AMRAN MULUP

SHAH ALAM – Kelab-kelab bola sepak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor tidak lagi dibenarkan untuk menyertai Liga Malaysia mulai musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, keputusan itu adalah wajar untuk menjadikan hanya satu pasukan iaitu Selangor bersaing dalam Liga Malaysia.

Menurut beliau, ia akan menjadikan Selangor sebagai pasukan yang cukup mantap dan memiliki ramai pemain tempatan yang diletakkan di bawah satu bumbung.

‘‘Bagi saya biarlah Selangor sahaja yang bersaing dalam Liga Malaysia dan tidak perlu ada kelab-kelab daripada PBT mengambil bahagian musim depan.

‘‘Ini akan menjadikan Selangor sebuah pasukan yang kuat kerana ada ramai pemain tempatan daripada pasukan PBT boleh menyertai skuad Merah Kuning.

‘‘Jika ramai pemain, kita akan bentuk skuad Selangor B,’’ katanya sewaktu bersarapan pagi bersama skuad Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia Selangor di kediaman rasmi beliau di sini, semalam.

Ini bermakna PKNS satu-satunya kelab gabungan FAS yang bersaing dalam Liga Perdana musim ini tidak akan menyertai kempen Liga Malaysia musim depan.

Tentang kejayaan Selangor setakat ini, beliau berkata, ini membuktikan betapa anak tempatan berwibawa menjanjikan kejayaan.

‘‘Apabila saya memaklumkan bahawa Selangor tidak akan menggunakan khidmat pemain import musim ini dan bergantung harapan kepada pemain muda, ramai pihak sangsi dengan keupayaan kita.

‘‘Ramai beranggapan apabila bermula kempen musim 2006/07 Selangor akan menjadi pasukan belasahan tetapi sebaliknya hari ini kita lihat Selangor mara ke separuh akhir Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia,’’ tegas beliau.

Beliau mengakui jurulatih Dollah Salleh ada menemuinya melahirkan rasa resah untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dengan kelibat pemain bawah 23 tahun.

Namun, katanya, setelah beliau menyakinkan Dollah bahawa Selangor mampu merintis kejayaan tanpa pemain import nyata ia menjadi kenyataan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4u84DQLmy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan