Ahad, 23 April 2017

PKNS gagal sambar peluang

ARKIB : 28/06/2004
PKNS gagal mengambil kesempatan untuk kembali ke tangga teratas dalam Kumpulan A bola sepak Liga Perdana selepas cuma seri 1-1 dengan Polis dalam aksi di Stadium Selayang, semalam.
Keputusan itu sekadar mengekalkan PKNS di tempat kedua liga, ketinggalan dua mata di belakang Johor FC yang mengumpul 34 mata selepas 16 perlawanan.
PKNS membuka jaringan menerusi Roman Chmelo pada minit ke-58 tetapi pemain import Polis, Glory Gaskie menyamakan kedudukan pada minit ke-77.
Di Stadium Hang Tuah, Telekom Melaka turut gagal merapatkan kedudukan dengan Johor FC selepas tewas 2-0 kepada TNB Kelantan untuk kekal dengan 31 mata.
Di Stadium TLDM di Lumut, penyerang import dari Argentina, Brian Fuentes menjaringkan hatrik untuk membantu Selangor menang 3-0 ke atas Tentera dan memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan A.
Ia adalah kemenangan ke-10 Selangor untuk mengumpul 31 mata selepas 16 perlawanan.
Di Kompleks Sukan Berakas, tuan rumah Brunei mencatat kemenangan kelapan selepas membelasah pasukan tangga terbawah Kumpulan A, JPS Kelantan 9-1.
Brunei kini mengumpul 25 mata selepas 16 perlawanan manakala JPS Kelantan kekal di tempat tercorot dengan tiga mata.
Dalam aksi Kumpulan B, MPPJ mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan kemenangan 2-0 ke atas MK Land di Stadium Petaling Jaya.
MPPJ gagah mengumpul 35 mata selepas 15 perlawanan, sembilan mata di depan MK Land di tempat kedua.
Gol-gol MPPJ dijaringkan oleh Haris Safwan Kamal (12) dan Juan Manuel Arostegui (86).
Johor pula seri tanpa jaringan dengan Melaka di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.
Bagaimanapun, pesta gol disaksikan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila Terengganu menang 5-4 ke atas Negeri Sembilan.
Zairo Anuar Zalani dan Md. Shahrul Ezrain masing-masing menjaringkan dua gol untuk pasukan tuan rumah pada minit keempat, 29, 36 dan 39 manakala satu gol lagi dijaringkan oleh Chanda Bwalya (44).
Negeri Sembilan mendapat gol menerusi Ching Hong Aik (14), Effendy Abdul Malik (68), Shahrin Majid (73) dan gol sendiri pemain Terengganu, Zolharisam Awang (60).
Kuala Lumpur turut mencatat kemenangan dengan menewaskan Kelantan 3-2 di Stadium KLFA, Cheras.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan