ARKIB : 29/01/2004
PKNS Selangor tidak menaruh
sasaran tinggi pada musim pertamanya dalam persaingan Liga Perdana yang akan
bermula 15 Februari ini meskipun merupakan antara pasukan paling kukuh dari
segi kewangan.
Sebagai pasukan yang dinaungi
oleh sebuah agensi kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
(PKNS), PKNS Selangor mendapat suntikan perbelanjaan hampir RM2.5 juta tahun
ini.
Tahun lepas, mereka membelanjakan
kira-kira RM1.5 juta.
``Saya tidak mahu meletakkan
sebarang sasaran,'' kata Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim selepas
menyaksikan majlis menandatangani kontrak antara pemain dengan kelab itu di
Petaling Jaya semalam.
``Saya tidak mahu pemain-pemain
tertekan untuk memenuhi sasaran, Saya hanya mengharapkan mereka bermain
bersungguh-sungguh kerana PKNS juga telah berjanji akan bersungguh-sungguh
untuk menjaga kebajikan mereka,'' jelasnya.
``Kami membelanjakan lebih RM2
juta untuk musim ini. Pemain-pemain tidak perlu bimbang kerana wang tidak akan
menjadi masalah, ini janji saya,'' tegas Harun.
Untuk musim ini, juara liga FAM
2003 itu telah mendapatkan khidmat empat pemain dari Slovakia untuk
memperkukuhkan cabaran mereka.
Dua pemain itu, Roman Chmelo dan
Marcel Palic ialah pemain dari kelab divisyen dua liga Slovakia, Levice. Anton
Kubala pula pernah beraksi untuk kelab divisyen satu, Prencin manakala Ludovit
Dekany dari kelab bahagian dua Sala.
Keempat-empat pemain itu
diperkenalkan kepada PKNS oleh bekas pemain Negeri Sembilan pada 1990-1994,
Miroslav Bozik, yang kini menjadi jurulatih di Levice.
Bozik pernah mendapat bimbingan
jurulatih PKNS, Mohamad Zaki Shaikh Ahmad ketika sama-sama berada dalam skuad
Rusa.
``Selepas menguji mereka dalam
beberapa perlawanan persahabatan, saya berpuas hati dengan mutu permainan
mereka. Saya yakin mereka boleh memberi sumbangan bermakna kepada PKNS,'' kata
Mohamad Zaki.
PKNS telah mengadakan beberapa
perlawanan ujian termasuk dengan pasukan dari Liga Super. PKNS menunjukkan
kemampuan yang memberangsangkan apabila mencatat keputusan seri 3-3 dengan
Perlis, yang merupakan pasukan di tangga ketiga Perdana Satu musim lepas.
Mereka tewas 3-2 kepada satu lagi
pasukan Liga Super, Pulau Pinang.
Dalam pertemuan dengan pasukan
Liga Perdana, PKNS kalah kepada TNB Kelantan 2-1 dan tewas kepada Selangor 3-1.
Mereka menang 3-1 ke atas Tentera, yang sudah pasti akan dijadikan pembakar
semangat apabila memulakan kempen Liga Perdana dengan menentang pasukan yang
sama di Stadium TLDM di Lumut, Perak pada 15 Februari nanti.
``Ketika ini, saya telah mendapat
gambaran siapa yang akan mengisi senarai kesebelasan utama, tetapi peluang
untuk pemain lain menunjukkan peningkatan masih ada. Saya juga mahukan PKNS
memiliki 18 pemain utama, bukan 11,'' tegas Mohamad Zaki, yang pernah bersama
Negeri Sembilan pada 1994-2000 sebelum ke Melaka pada musim lepas.
PKNS akan mengadakan dua lagi
perlawanan ujian iaitu menentang Pulau Pinang hari ini dan Perlis esok.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4drKv6ec5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan