Selasa, 27 Disember 2016

Bijak urus kewangan

 PASUKAN PKNS giat berlatih menjelang aksi Liga Super.
Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my
 
Seremban: Ketika beberapa persatuan bola sepak negeri dan kelab berdepan kesukaran membentuk pasukan baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan kerana masalah kewangan, PKNS FC mempunyai cara tersendiri dalam menangani cabaran itu.

Walaupun mereka hanya berstatus kelab, PKNS masih dapat terus bertahan untuk bersaing dalam Liga M, malah pembentukan skuad Liga Super dilihat berjalan lancar.


Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abdul Jabar berkata, pihaknya sentiasa berhati-hati dalam menguruskan kewangan kelab bagi memastikan tidak timbul masalah hingga menjejaskan kepentingan pasukan terutama pegawai, jurulatih dan pemain.

Menurutnya, PKNS tidak menawarkan gaji yang terlalu tinggi kepada pemain pasukan utama berbanding pasukan lain.

“Kami cuba memahamkan pemain yang berminat menyarung jersi PKNS mereka tidak seharusnya bermain untuk duit sebaliknya untuk diri sendiri, keluarga dan masa depan.

“Sebab itu, kami tawarkan gaji kepada pemain tempatan dalam skuad Liga Super pada kadar yang munasabah iaitu tidak sampai RM20,000 seorang,” katanya ketika ditemui pada kem bina semangat skuad Piala Belia dan Piala Presiden PKNS di HR Resort Kampung Pilin, Rembau, kelmarin.

Sebelum ini, beberapa pasukan negeri seperti Kelantan dan Selangor berdepan kesukaran membentuk pasukan kerana masalah kewangan hingga mewujudkan kebimbangan dalam kalangan penyokong pasukan itu.

Siti Zubaidah mengakui PKNS yang ditaja oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Kappa memerlukan antara RM10 hingga RM13 juta bagi menguruskan pasukan liga utama semusim.

“Kami perlu menguruskan kelab dengan cekap dan berhati-hati serta menawarkan gaji kepada setiap pemain dalam liga utama berdasarkan kemampuan kewangan.

“Tambahan pula, PKNS kini mempunyai seramai 400 pegawai dan pemain bermula dari peringkat akademi hingga skuad Liga Super,” jelasnya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 9:11 AM

Khamis, 22 Disember 2016

Semut Merah intai Safee

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Selepas memuktamadkan sembilan tonggak baharu membabitkan bekas pemain kebangsaan, PKNS FC dikhabarkan bakal mengikat seorang lagi penyerang bagi menguatkan barisan depan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Pemain yang dimaksudkan ialah bekas penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali (gambar) yang difahamkan bakal menyertai skuad Semut Merah daripada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) selepas hampir tiga musim bersama Harimau Selatan.


Pengurus PKNS FC Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, perbincangan mengenai kontrak pemain kelahiran Kajang, Selangor itu masih di peringkat awal dan jika semuanya berjalan lancar kemungkinan peledak Harimau Malaysia itu bakal menjadi pemain ke-10 PKNS FC.

“Ketika ini saya belum boleh mengesahkan kehadiran Safee ke PKNS kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dipersetujui kedua-dua belah pihak.

“Namun saya juga tidak menafikannya kerana kami sememangnya sedang memburu penyerang tempatan untuk digandingkan dengan Patrick Ronaldinho di bahagian depan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Skuad kendalian E Elavarasan yang muncul naib juara Liga Perdana di belakang Melaka United musim lalu akan beraksi dalam kancah Liga Super yang lebih mencabar dan sengit.

Selain Safee, Elavarasan turut berjaya memancing sembilan pemain tempatan yang bertaraf ‘bintang’ seperti Zamir Selamat (Perak), Azmi Muslim (Selangor), Affizee Mamat (Terengganu), Fauzan Dzulkifli (Pulau Pinang), Bobby Gonzales dan S Sivanesan (FELDA United) Khyril Muhymeen (Air Asia), Sabree Mat Abu (Kedah) dan K Gurusamy (Sarawak).

Jelasnya, walaupun ada sesetengah pihak melabel bekas penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya itu sebagai ‘kuda tua’, Mahfizul sebaliknya percaya faktor usia bukan penghalang buat tonggak berusia 32 tahun itu untuk menyerlah bersama PKNS.

“Dia datang daripada Johor DT yang memiliki pasukan hebat serta barisan kejurulatihan terbaik. Saya percaya dia masih lagi kuat untuk membantu kami.

“Lagipun, pengalaman luasnya dalam saingan liga domestik serta antarabangsa boleh dimanfaatkan sebaiknya sekali gus memastikan pasukan memberi tentangan sengit nanti,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 9:40 AM

Isnin, 19 Disember 2016

PKNS boleh sertai Liga Malaysia

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
17 DISEMBER 2016
 PKNS FC
PKNS FC PKNS FC mendapat lampu hijau untuk beraksi dalam saingan Liga-M 2017.
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan PKNS FC boleh menyertai Liga Malaysia (Liga-M) 2017 selepas mesyuarat Undang-undang dan Peraturan FAM, semalam, lapor MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, PKNS sebenarnya tidak tertakluk kepada undang-undang pergabungan dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) seperti diperkatakan sebelum ini.

“Saya nak jelaskan di sini bahawa semua pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana adalah tertakluk kepada satu perjanjian yang dinamakan perjanjian perkongsian.

“Perjanjian perkongsian ini menjadikan semua pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana adalah rakan kongsi kepada Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

“Ini bermakna mereka tidak perlu berada dalam gabungan untuk menyertai Liga Super dan Liga Perdana,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Afandi, setelah pentaksiran yang dilakukan oleh FAM, PKNS juga tidak berada dalam dua keadaan yang akan menyebabkan perjanjian itu terbatal.

“Pertama PKNS tidak tersingkir ke Liga FAM dan masih berada di bawah FMLLP apabila berjaya layak ke Liga Super.

“Dan keduanya, mereka tidak dipecat oleh FAM. Maka mereka sah bermain dalam Liga Malaysia musim depan” katanya

SUMBER- SINAR HARIAN ONLINE  17 DISEMBER 2016