Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
FADHIL (kiri) tidak dapat
beraksi malam ini kerana menjalani penggantungan perlawanan.
SELEPAS dijulang sebagai wira
minggu lalu, Mohd. Fadhil Hashim terpaksa menjadi penonton ketika pasukannya,
PKNS Selangor menentang skuad Harimau Muda pada aksi Liga Perdana di Stadium
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Fadhil dianggap wira pasukannya
apabila menjaringkan gol tunggal ketika PKNS menang tipis 1-0 ke atas Sabah di
Kompleks Sukan Tawau Jumaat lalu.
Namun, selang 60 minit
kemudian, Fadhil, 25, dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah, sekali
gus menyaksikan pemain sayap kiri itu bakal kempunan beraksi menentang Harimau
Muda malam ini.
Menurut Fadhil, biarpun berasa
sedikit terkilan kerana digantung satu perlawanan, dia tetap berpuas hati
kerana dapat membantu PKNS mencuri tiga mata penuh di tempat lawan minggu lalu.
“Memang gembira kerana jaringan
awal saya itu dapat bertahan sehingga penghujung perlawanan seterusnya memberi
kemenangan kedua berturut-turut buat PKNS selepas kami menewaskan Shahzan Muda
minggu lalu.
“Terima kasih juga kepada
rakan-rakan lain kerana dapat mempertahan pintu gol daripada asakan
bertubi-tubi penyerang Sabah selepas saya kena kad merah,” katanya ketika
dihubungi KOSMO! semalam.
Dalam perlawanan itu, Fadhil
menerima kad kuning pertama selepas dia menanggalkan jersi bagi meraikan
jaringannya pada minit ke-13 sebelum dia dilayangkan kad kuning kedua pada
minit ke-73 selepas mengasari pemain Sabah.
Tambahnya, kemenangan ke atas
Sabah itu juga terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi kerana selain dirinya,
dua lagi pemain utama PKNS iaitu K. Sanbagamaran dan Yuzaiman Zahari turut
cedera dalam perlawanan tersebut.
“PKNS bakal hilang tiga pemain
bagi menghadapi Harimau Muda esok (malam ini). Tapi secara peribadi, saya yakin
pemain yang mengisi kekosongan itu nanti dapat memberikan yang terbaik,” ujar
Fadhil.
Bekas pemain Selangor itu
berkata, dia akan kembali beraksi apabila PKNS menentang Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) di Stadium Selayang Jumaat ini
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4wNKneMtj
Hakcipta terpelihara