Isnin, 24 April 2017

PKNS rampas kedudukan teratas

ARKIB : 11/07/2004
TENTERA 3 JOHOR FC 2
PKNS 2 BRUNEI 1
MELAKA 1 N. SEMBILAN 2

PKNS SELANGOR merampas tangga teratas Kumpulan A bola sepak Liga Perdana daripada Selangor, terima kasih kepada Tentera yang bangkit pada minit-minit akhir untuk mencipta kemenangan dramatik ke atas satu lagi pencabar dalam perebutan gelaran, Johor FC semalam.
Hairul Anhar menjadi wira PKNS yang menundukkan Brunei 2-1 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya, untuk menghadiahkan mata ke-38 kepada pasukannya sekaligus mengatasi pendahulu sebelum ini, Selangor dengan satu mata. Brunei membalas menerusi Viban Framas Buyong pada minit ke-32.
Selangor bagaimanapun masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan manakala PKNS telah beraksi 19 perlawanan.
Ketika PKNS mencipta malam gemilang, Johor FC pula dikecewakan oleh kehebatan Tentera, yang bangkit pada 20 minit terakhir untuk mencipta kemenangan 3-2 di Stadium TLDM, Lumut.
Kekalahan Johor FC itu menyebabkan mereka berada tiga mata di belakang PKNS selepas 19 kali bermain.
Johor FC mendahului 2-1 pada satu ketika apabila Walter Silva dan Mattehew Vorg menemui sasaran masing-masing pada minit ke-49 dan 65.
Bagaimanapun Tentera yang membuka jaringan pada minit ke-59 melalui Alfonsus Min, bangkit menyamakan kedudukan minit ke-76 menerusi Affendi Azuddin pada minit ke-76 sebelum S. Ragus memastikan mereka mengutip mata penuh menerusi percubaan minit 88.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan mereka yang telah mengutip 21 mata selepas 18 perlawanan, satu mata di belakang Brunei yang kalah 2-1 kepada PKNS dalam pertemuan di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Sementara itu, Negeri Sembilan merampas tangga kedua Kumpulan B daripada MK Land Selangor apabila menundukkan Melaka 2-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka.
Affendy Malek dan K. Rajan menjaringkan gol buat Negeri Sembilan masing-masing pada minit ke-76 dan 85 sebelum Melaka membalas menerusi percubaan Emir Zafic ketika permainan berbaki seminit.
Negeri Sembilan kini mengumpul 31 mata daripada 18 perlawanan, dua mata di depan MK Land dan lima mata di belakang pendahulu, MPPJ Selangor.

Ahad, 23 April 2017

PKNS gagal sambar peluang

ARKIB : 28/06/2004
PKNS gagal mengambil kesempatan untuk kembali ke tangga teratas dalam Kumpulan A bola sepak Liga Perdana selepas cuma seri 1-1 dengan Polis dalam aksi di Stadium Selayang, semalam.
Keputusan itu sekadar mengekalkan PKNS di tempat kedua liga, ketinggalan dua mata di belakang Johor FC yang mengumpul 34 mata selepas 16 perlawanan.
PKNS membuka jaringan menerusi Roman Chmelo pada minit ke-58 tetapi pemain import Polis, Glory Gaskie menyamakan kedudukan pada minit ke-77.
Di Stadium Hang Tuah, Telekom Melaka turut gagal merapatkan kedudukan dengan Johor FC selepas tewas 2-0 kepada TNB Kelantan untuk kekal dengan 31 mata.
Di Stadium TLDM di Lumut, penyerang import dari Argentina, Brian Fuentes menjaringkan hatrik untuk membantu Selangor menang 3-0 ke atas Tentera dan memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan A.
Ia adalah kemenangan ke-10 Selangor untuk mengumpul 31 mata selepas 16 perlawanan.
Di Kompleks Sukan Berakas, tuan rumah Brunei mencatat kemenangan kelapan selepas membelasah pasukan tangga terbawah Kumpulan A, JPS Kelantan 9-1.
Brunei kini mengumpul 25 mata selepas 16 perlawanan manakala JPS Kelantan kekal di tempat tercorot dengan tiga mata.
Dalam aksi Kumpulan B, MPPJ mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan kemenangan 2-0 ke atas MK Land di Stadium Petaling Jaya.
MPPJ gagah mengumpul 35 mata selepas 15 perlawanan, sembilan mata di depan MK Land di tempat kedua.
Gol-gol MPPJ dijaringkan oleh Haris Safwan Kamal (12) dan Juan Manuel Arostegui (86).
Johor pula seri tanpa jaringan dengan Melaka di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.
Bagaimanapun, pesta gol disaksikan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila Terengganu menang 5-4 ke atas Negeri Sembilan.
Zairo Anuar Zalani dan Md. Shahrul Ezrain masing-masing menjaringkan dua gol untuk pasukan tuan rumah pada minit keempat, 29, 36 dan 39 manakala satu gol lagi dijaringkan oleh Chanda Bwalya (44).
Negeri Sembilan mendapat gol menerusi Ching Hong Aik (14), Effendy Abdul Malik (68), Shahrin Majid (73) dan gol sendiri pemain Terengganu, Zolharisam Awang (60).
Kuala Lumpur turut mencatat kemenangan dengan menewaskan Kelantan 3-2 di Stadium KLFA, Cheras.

Johor FC jinakkan PKNS

ARKIB : 21/06/2004
JOHOR FC menewaskan pendahulu Kumpulan A Liga Perdana, Selangor PKNS 1-0 pada perlawanan di Stadium Jcorp, Pasir Gudang, semalam.
Penyerang import Johor FC, Walter Silva Ariel tidak mensia-sia gerakan Mohd Hamzani Omar yang membuat umpanan kemas kepadanya untuk menjaringkan gol pada minit ke-45.
Di Bandar Seri Begawan, Brunei membelasah pasukan Polis Diraja Malaysia 6-0 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Barakas.
Lima gol dijaringkan pada separuh masa pertama dengan Vivan Francis Bayong menjaringkan hatrik pada minit ke-14, 22 dan 29 manakala pemain import, Silas Liberalto Da Silva menjaringkan dua gol pada minit ke-44 dan 72.
Satu lagi gol dijaringkan oleh Abang Norsilmy Taha melalui sepakan penalti pada minit ke-17.
Di Stadium Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Angkatan Tentera Malaysia(ATM) menewaskan Kelantan JPS 4-0 dengan kesemua gol dijaringkan pada separuh masa kedua.
ATM memperolehi gol pertama enam minit selepas perlawanan bersambung menerusi Mohd Fadil Lamun.
Tiga minit kemudian pada minit ke-54, giliran Alfonsos Michael Angen menjaringkan gol kedua ATM bagi mengukuhkan lagi kedudukan pasukannya diikuti gol ketiga menerusi Mohd Nazri Akui pada minit ke-78.
Pada minit ke-86, Azfendy Azudin menjadikan kedudukan 4-0 untuk memberikan kemenangan selesa kepada ATM menundukkan Kelantan JPS yang berada di tangga terbawah kumpulan.
Di Stadium Shah Alam, Melaka Telekom menumpaskan tuan rumah, Selangor 3-1 dalam perlawanan yang penuh kekasaran menyebabkan tiga pemain dibuang padang.
Ketua pasukan Telekom Melaka, Nazzab Hidzan menyempurnakan dua sepakan penalti pada minit ke-29 dan 47 manakala Farid Dewan menjaringkan satu lagi gol untuk Telekom pada minit ke-38.
Selangor mendapat gol saguhati menerusi tendangan penalti penjaring terbanyaknya, Brian Fuentes pada minitke-73.
Dalam saingan Kumpulan B, SKM Kelantan mengejutkan Negeri Sembilan dengan kemenangan 2-1 pada perlawanan di Stadium Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.
Ahmad Syiham Mohamad membuka jaringan buat SKMK dengan gol pertama pada minit ke-17 sebelum Negeri Sembilan menyamakan kedudukan menerusi Duke Essiong pada minit ke-30.
Bagaimanapun SKMK berjaya menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-81 menerusi Baranuwat Nasartsang.
Pada perlawanan di Stadium Hang Tuah, tuan rumah Melaka sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Terengganu.
Norizam Ali Hassan meletakkan Melaka lebih dulu di depan dengan gol pada minit ke-45 sebelum Terengganu menyamakan kedudukan menerusi Marzuki Yusof pada minit ke-54.
Di Stadium Petaling Jaya, pendahulu Kumpulan B, Selangor MPPJ mengukuhkan kedudukan mereka apabila membelasah Johor 4-0.
Penjaring import dari Argentina, Juan Manuel Arostegui membuka jaringan pada minit ke-28 diikuti Sasa Brenezac pada minit ke-32 dan ke-58.
Seorang lagi pemain import dari Argentina Fabricio Franceschi menambah gol keempat sepuluh minit sebelum permainan tamat.
Kemenangan itu membolehkan Selangor MPPJ mengumpul 32 mata, enam mata di depan Selangor MK Land yang kecundang 3-0 di tangan Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Marcelo Padiha De Rocha menyumbat dua gol, kedua-duanya menerusi tandukan pada minit ke-53 dan ke-80 manakala satu lagi gol dijaringkan oleh Ivan Yusoff pada minit ke-32.

Sabtu, 22 April 2017

PKNS kekal di tangga teratas

ARKIB : 24/05/2004
JARINGAN sendiri pemain JPS Kelantan, Zahariman Ghazali pada minit ke-44 membawa padah yang menyaksikan PKNS Selangor terus mempertahankan kedudukan tangga teratas kumpulan A bola sepak Liga Perdana dengan kemenangan 2-1 dalam aksi di Stadium Sultan Mohamed IV Kota Bharu, semalam.
Begitupun, PKNS Selangor ternyata `lelah' sebelum mencatat kemenangan berharga itu dengan pasukan tuanrumah, JPS Kelantan mempamerkan aksi menarik.
Jaringan `maut' Zahariman yang membuat sepakan tinggi ke gawang sendiri untuk menyelamatkan keadaan, gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol, Md. Kamaruzaman Ini, menyebabkan bola melantun dan bergolek masuk ke pintu gol sendiri.
Ketinggalan satu gol, JPS Kelantan berusaha menggandakan asakan pada babak kedua dan hasilnya, Adnan Musa berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-56.
Begitupun, nasib tidak menyebelahi tuan rumah apabila gawang mereka dibolosi buat kali kedua seminit kemudian hasil jaringan Anton Kubala pada minit ke-57 yang melakukan tendangan libas setelah Md. Kamaruzaman gagal menampan kemas satu bola hantaran silang pasukan lawan.
Kedua-dua pasukan saling mengasak dengan PKNS yang mendapat sokongan padu penyokong setianya jelas lebih banyak menguasai permainan tetapi ketumpulan barisan serangan menyaksikan tiada penyudah.
Begitu juga JPS Kelantan yang sekali sekala melancarkan serangan kilat tetapi ketiadaan penyerang berbisa menyaksikan mereka gagal menjaring sebarang gol tambahan.
Keputusan kekal sehinga pengadil Sivajothi Arumugam meniup wisel penamat dengan PKNS Selangor mengalahkan JPS Kelantan 2-1.
Dalam perlawanan di Stadium Lumut, Angkatan Tentera gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila tewas 0-1 kepada TNB Kelantan dalam saingan kumpulan B.
Mathew Amen Ogor memecah kebuntuan dengan gol kemenangan pada minit ke-38 untuk membolehkan pasukan pelawat membawa pulang tiga mata penuh.

Jumaat, 21 April 2017

PKNS, tentera catat kemaraan walaupun tewas dalam aksi kedua

ARKIB : 12/05/2004
PKNS Selangor terpaksa berhempas pulas untuk layak ke suku akhir bola sepak Piala FA dengan kemenangan agregat 5-4 selepas tewas 3-2 kepada MK Land dalam aksi kedua pusingan ketiga di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Skuad itu harus menarik nafas lega dengan kejayaan ke suku akhir, jika tidak dengan kelebihan agregat selepas mencatat kemenangan 3-1 pada perlawanan pertama minggu lalu.
PKNS selesa mendahului 2-0 menerusi Shahrunizam Saidin yang membuka jaringan pada minit ke-14 sebelum disusuli dengan jaringan kedua pada minit ke-20 oleh Mohamad Sudin.
Bagaimanapun, MK Land merapatkan jurang dengan gol pertama sepuluh minit kemudian menerusi jaringan Mohd. Fairuz Mohd. Nor untuk kedudukan 2-1 sehingga waktu rehat.
MK Land gagal mencari gol penyamaan sebaik permainan disambung namun pada baki 10 minit perlawanan, Meor Nor Samsul Kamal dan pemain import, Uchena Godwin berjaya menemui sentuhan di depan gol dengan jaringan masing-masing pada minit ke-80 dan 83.
Begitupun, kemenangan itu gagal membawa MK Land ke suku akhir.
Di Stadium Selayang, Tentera turut layak ke suku akhir dengan kemenangan agregat 3-2 biarpun tewas 1-0 kepada Polis, semalam.
Gol kemenangan Polis pada perlawanan itu dijaringkan oleh David Anas pada minit ke-70 tetapi gagal mengatasi Tentera yang memiliki kelebihan agregat selepas Polis tewas 3-1 pada perlawanan pertama.

Ahad, 16 April 2017

MPSJ, PKNS Seri 2-2

ARKIB : 24/03/2004
DUA pasukan Lembah Klang, MPSJ Selangor dan PKNS Selangor terikat 2-2 pada perlawanan pusingan kedua, peringkat pertama bola sepak Piala FA di Kompleks Sukan MPSJ, Subang Jaya, semalam.
Sekalipun bermain di gelanggang sendiri dan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, MPSJ gagal menggunakan kelebihan itu apabila pasukan lawan, yang merupakan juara Piala FAM musim lepas, bangkit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan.
Gol MPSJ dijaringkan oleh Shaheful Ardan Adenan pada minit ke-26 dan Adi Mulyade Ismail lima minit sebelum rehat, kedua-duanya melalui gerakan solo.
Bekas penyerang kebangsaan Rusdi Suparman merapatkan jurang apabila menanduk masuk gol pertama PKNS pada minit ke-49 sebelum pemain gantian Mohd Latiff Taib menyamakan kedudukan pada minit ke-76.

PKNS ke Larkin tanpa kelibat Safee

safee sali
Safee Sali
PENGENDALI PKNS FC, E Elavarasan mengesahkan pasukannya bakal beraksi tanpa kelibat Safee Sali menentang  Johor Darul Ta’zim (JDT)  dalam  aksi Liga Super  di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu ini.
Kata Elavarasan, beliau terpaksa mengetepikan bekas  pemain JDT itu kerana gentlemen’s agreement antara pasukan itu dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Disebabkan terdapat gentlemen’s agreement antara TMJ dan pasukan ini, Safee tidak akan bermain menentang kelab asalnya seperti yang telah terjadi kepada Amri Yahyah (Melaka United).
“Memang sedikit terasa kehilangannya, tetapi apa jua situasi kami perlu harungi perlawanan itu,” katanya.
Tambah memeritkan, PKNS turut akan kehilangan penyerang importnya, Patrick Ronaldinho Wleh yang digantung perlawanan setelah mengumpul tiga kad kuning.
“Kita menghadapi sedikit masalah di bahagian serangan kerana kehilangan kedua-dua penyerang utama.
“Mungkin Lucas Sebastian Espindola akan diletakkan di bahagian serangan. Kita akan tengok dulu bagaimana percaturan beberapa hari sebelum perlawanan,” katanya.
Walaupun dibayangi ketumpulan di bahagian serangan namun Elavarasan tetap yakin bahawa pemain The Red Ants  mampu mencipta kejutan sekurang-kurangnya meraih satu mata berharga

Khamis, 13 April 2017

Liga Perdana: PKNS mengancam

ARKIB : 23/02/2004
JUARA Piala Malaysia, MPPJ Selangor mencatat keputusan seri kedua dalam kempen Kumpulan B bola sepak Liga Perdana apabila terikat 1-1 dengan Kelantan di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu semalam. Penyerang sensasi dari Argentina, Juan Manuel Arostegui menyumbat gol pendahuluan MPPJ pada minit ke-54 tetapi Mohd. Faizal memastikan Kelantan turut mengutip satu mata apabila menjaringkan gol penyamaan pada baki dua minit permainan.
Emir Dzefic pula muncul penyelamat Melaka di Stadium Selayang, Selayang apabila menjaringkan gol pada minit ke-30 ketika bertemu MK Land Selangor selepas kedudukan sebelum itu terikat 1-1.
Melaka mendahului pada minit ke-10 menerusi percubaan Sabri Hanif sebelum MK Land mendapat gol penyamaan menerusi sepakan penalti Abou Nabuchi pada minit ke-25.
Terengganu pula meraih keputusan seri kedua setelah terikat 1-1 dengan tuan rumah, SKMK Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Alfa Potowa Bawi menjaringkan gol Terengganu seawal minit kesembilan tetapi Abdul Latif Jusoh menyelamatkan SKMK, yang terpaksa menjadikan Stadium Sultan Ismail sebagai gelanggang sendiri, apabila menyepak masuk gol penyamaan pada minit ke-90.
Dalam persaingan Kumpulan A, PKNS Selangor terus unggul di tangga teratas apabila menundukkan JPS Kelantan 4-1 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.
Ramon Chmelo menjaringkan dua gol pada minit ke-55 dan 80 manakala Anton Kubala dan Rusdi Suparman menyumbang gol masing-masing pada minit ke-18 dan 47.
Sementara itu, Johor FC sekadar berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan Polis di Stadium Pasir Gudang.
Tentera pula menang 1-0 ke atas TNB Kelantan di Stadium Matsushita, Shah Alam, terima kasih kepada jaringan Mohd. Fadhil Amon.
KEPUTUSAN
KUMPULAN A
JOHOR FC 1 POLIS 1
PKNS SELANGOR 4 JPS KELANTAN 1
TNB KELANTAN 0 TENTERA 1
KUMPULAN B
SKMK KELANTAN 1 TERENGGANU 1
MK LAND SELANGOR 1 MELAKA 2
KELANTAN 0 MPPJ SELANGOR 1

Isnin, 10 April 2017

PKNS tidak letak sasaran tinggi



ARKIB : 29/01/2004
PKNS Selangor tidak menaruh sasaran tinggi pada musim pertamanya dalam persaingan Liga Perdana yang akan bermula 15 Februari ini meskipun merupakan antara pasukan paling kukuh dari segi kewangan.

Sebagai pasukan yang dinaungi oleh sebuah agensi kerajaan negeri iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PKNS Selangor mendapat suntikan perbelanjaan hampir RM2.5 juta tahun ini.

Tahun lepas, mereka membelanjakan kira-kira RM1.5 juta.

``Saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran,'' kata Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak antara pemain dengan kelab itu di Petaling Jaya semalam.

``Saya tidak mahu pemain-pemain tertekan untuk memenuhi sasaran, Saya hanya mengharapkan mereka bermain bersungguh-sungguh kerana PKNS juga telah berjanji akan bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan mereka,'' jelasnya.

``Kami membelanjakan lebih RM2 juta untuk musim ini. Pemain-pemain tidak perlu bimbang kerana wang tidak akan menjadi masalah, ini janji saya,'' tegas Harun.

Untuk musim ini, juara liga FAM 2003 itu telah mendapatkan khidmat empat pemain dari Slovakia untuk memperkukuhkan cabaran mereka.

Dua pemain itu, Roman Chmelo dan Marcel Palic ialah pemain dari kelab divisyen dua liga Slovakia, Levice. Anton Kubala pula pernah beraksi untuk kelab divisyen satu, Prencin manakala Ludovit Dekany dari kelab bahagian dua Sala.

Keempat-empat pemain itu diperkenalkan kepada PKNS oleh bekas pemain Negeri Sembilan pada 1990-1994, Miroslav Bozik, yang kini menjadi jurulatih di Levice.

Bozik pernah mendapat bimbingan jurulatih PKNS, Mohamad Zaki Shaikh Ahmad ketika sama-sama berada dalam skuad Rusa.

``Selepas menguji mereka dalam beberapa perlawanan persahabatan, saya berpuas hati dengan mutu permainan mereka. Saya yakin mereka boleh memberi sumbangan bermakna kepada PKNS,'' kata Mohamad Zaki.

PKNS telah mengadakan beberapa perlawanan ujian termasuk dengan pasukan dari Liga Super. PKNS menunjukkan kemampuan yang memberangsangkan apabila mencatat keputusan seri 3-3 dengan Perlis, yang merupakan pasukan di tangga ketiga Perdana Satu musim lepas.

Mereka tewas 3-2 kepada satu lagi pasukan Liga Super, Pulau Pinang.

Dalam pertemuan dengan pasukan Liga Perdana, PKNS kalah kepada TNB Kelantan 2-1 dan tewas kepada Selangor 3-1. Mereka menang 3-1 ke atas Tentera, yang sudah pasti akan dijadikan pembakar semangat apabila memulakan kempen Liga Perdana dengan menentang pasukan yang sama di Stadium TLDM di Lumut, Perak pada 15 Februari nanti.

``Ketika ini, saya telah mendapat gambaran siapa yang akan mengisi senarai kesebelasan utama, tetapi peluang untuk pemain lain menunjukkan peningkatan masih ada. Saya juga mahukan PKNS memiliki 18 pemain utama, bukan 11,'' tegas Mohamad Zaki, yang pernah bersama Negeri Sembilan pada 1994-2000 sebelum ke Melaka pada musim lepas.

PKNS akan mengadakan dua lagi perlawanan ujian iaitu menentang Pulau Pinang hari ini dan Perlis esok.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4drKv6ec5
© Utusan Melayu (M) Bhd